14 Februari 2009

Adakah Anda Punya Rukun Diri?

Setiap perkara ada rukunnya tersendiri. Rukun ini ialah dasar atau tunjang bagi setiap sesuatu. Semua negara ada rukunnya untuk menguat dan mengukuhkan kewujudan negara itu, sama juga dengan sesebuah syarikat. Pun ada rukunnya. Rukun negara dan syarikat ini, juga rukun pertubuhan, sekolah dan sebagainya dicipta oleh manusia.

Dalam bab agamapun ada rukunnya. Rukun iman, rukun islam dan segala amalan dalam Islam ada rukunnya. Rukun dalam agama ini bukan ciptaan manusia.

Ini menunjukkan pentingnya 'kewujudan dan kedudukan' rukun ini.

Kalau rukun negara dan organisasi 'direka' manusia untuk mengukuh dan menguatkan negara dan organisasi dan Allah mengadakan rukun dalam amalan agama untuk kesempurnaan amalan hamba-Nya, maka manusiapun patut mencipta dan mengadakan rukun untuk dirinya sendiri bagi menguat, mengukuh dan menyempurnakan usia hidupnya.

Saya mengadakan rukun diri saya ini atas saranan Dr.Tuah Iskandar al-Haj;

Aku insan luar biasa hebat; hebat pada pemikiranku, fizikalku dan emosiku/jiwaku.
Hatiku teguh dengan segala keputusan yang telah aku buat.
Membina imaginasi cemerlang untuk hidup terbilang dan gemilang.
Aku bertindak segera untuk melaksanakan keputusan dan menggapai imaginasiku.
Doa dan usaha berterusan adalah prinsip hidupku; tunjang kejayaan hidup.

Yakin pada diri; aku boleh!
Allah matlamat utama hidupku; sumber segala-galanya dalam hidup.
Nabi Muhammad idolaku; contoh panduan menjalani kehidupan.
Islam agamaku; hidup dan matiku bersamanya.

Adakah anda mempunyai rukun hidup sendiri? Anda patut mengadakannya sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan