18 Julai 2010

Tulis! Kalau Tidak Kamu Akan Lupa

Bila kamu ada apa-apa idea yang timbul dalam kotak fikir kamu, cepat-cepat catatkannya. Apa-apa idea pun, sekalipun idea itu kelihatan mengarut dan tak masuk akal.

Bawalah satu nota catatan kecil seperti buku kecil 555 dan sebatang pen untuk memudahkan anda mencatat bila perlu. Malulah kalau nak pinjam pen dan kertas kepunyaan orang.

Bila kamu tak mencatatnya, idea itu tidak akan datang semula walau kamu memerah otak sampai 'setengah mati' pun, idea itu tidak akan datang balik.

Itulah yang selalu terjadi pada aku. Aku akui inilah kelemahan yang sampai sekarang, sukar untuk aku hilangkan.

Bila aku ada terfikir beberapa idea, aku biarkan ia berlalu kerana aku anggap ia tidak memberi apa-apa kaitan dengan apa yang aku buat sekarang ini. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang kita akan buat di masa akan datang walupun sekarang ini kita telah merancangnya. Bila kita sampai ke masa itu, kita selalu berharap apa idea yang pernah kita terfikir dulu akan muncul balik.

Aku terfikir beberapa perubahan yang patut aku buat pada surat jualan pos yang aku tulis. Tapi aku tak buat. Aku mahu tangguhkan besok saja. Namun pada besok hari, bila aku tatap balik surat jualan pos yang aku tulis untuk membuat perubahan, aku sudah tak tahu perubahan apa yang aku nak buat. Ini contoh kecil yang terjadi pada aku.

Jadi, kalau kamu ada idea catatkannya dengan segera. Jangan bertangguh. Kalau pun idea itu tidak berguna sekarang, ia mungkin akan berguna di masa depan. Dan kalau ia tidak berguna untuk anda, ia mungkin berguna untuk orang lain.