23 Mac 2009

Perasuah Adalah Hero

RAHSIA adalah satu perkataan yang cukup ampuh sekarang ini untuk melariskan apa-apa produkpun; makanan kesihatan, kosmetik ataupun buku.

Kerana itu kita terbiasa dengan tajuk-tajuk ini; Rahsia Jutawan Internet Terbongkar, Rahsia Buat Duit Dengan eBay, Rahsia Buat Duit Dengan Kad Kredit, Rahsia Buat Duit Dengan Hobi dan banyak lagi ayat yang boleh melariskan buku.

Kalau untuk kosmetik dan makanan tambahan, kita akan diasak dengan pujukan-pujukan ini; Rahsia Melangsingkan Badan Dalam 10 Hari, Rahsia Mencerahkan Kulit Dalam 7 Hari, Rahsia Kuat Dalam Bilik Tidur dan banyak rahsia lagi.

Aku tiba-tiba terfikir untuk menulis satu buku menggunakan perkataan rahsia ini; 'Rahsia Bagaimana Anda Boleh Tersenyum Bangga Dan Dianggap Hero Walaupun Anda Merasuah!'

Mesti meletup-letup jualan buku ini nanti sebagaimana meletupnya buku Dr.Irfan Khairi; Rahsia Jutawan Internet Terbongkar.

Ada sesiapa yang nak tempah buku ini dari saya?

14 Mac 2009

Berguru Dengan Tun Daim. Bahagian 1

Mutiara kata-kata di bawah ialah prinsip atau amalan tindakan Tun Daim. Semoga kita mengambil manfaat darinya;

1#; Masalah mesti diselesaikan. Ia tidak akan hilang dengan sendiri. Bagaimana cuba diketepikan pun, masalah akan muncul semula. Jadi yang paling baik, cuba selesaikan serta merta.

2#; Buat silap tak apa, tapi kena baiki. Semua orang buat silap, namun kena belajar dari kesilapan itu dan jangan buat lagi. Kesilapan tidak membinasakan. Yang membinasakan kalau kita teragak-agak. Gerakkan segalanya. Biasakan diri membuat keputusan dengan cepat. Latih fikiran supaya dapat buat begitu. Lambat ertinya; membuang masa. Masa itu wang. Kalau seorang lambat, ini menyebabkan orang lain lambat dan akhirnya semua jadi lambat. Tidak boleh menanti esok. Yang mesti dibuat hari ini mesti disiapkan hari ini.

3#; Lebih baik ada 3 orang yang pandai dan rajin. Beri gaji bagus-bagus daripada ada 20 orang yang menyakitkan hati. Nanti kerana yang 20 orang itu kita meradang, akhirnya kerja tak dibuat. Kita pula sakit jantung. Lebih baik buang yang 20, ambil 3 saja.

4#; Apa gunanya publisiti? Kalau anda berjaya; itu sajalah publisiti yang anda perlukan. Orang cakap tentang anda. Orang nak kenal anda. Orang tulis tentang anda. Kejayaan anda membawa publisiti kepada anda walaupun anda tak mencarinya.

5#; Kelulusan tak jamin kejayaan dalam dunia niaga yang penuh cabaran. Pendidikan memang penting tapi kita juga mesti sanggup berusaha, terus mencuba, merancang dengan teliti dan menumpukan perhatian. Nasib juga ada peranannya. Kejayaan dicapai dengan 90% usaha dan persediaan. 10% imaginasi dan inspirasi.

6#; Universiti dapat ajar kita teori. Buat kajian kes dan banyak lagi. Tapi akhirnya kita mesti ada kebolehan dalam diri untuk mempraktikkan semua teori. Kita mesti suka berniaga. Suka buat wang. Suka memikirkan cara untuk buat wang lebih banyak lagi dengan wang yang ada.

08 Mac 2009

Tulisan Yang Berharga

Saya amat suka membaca tulisan subky abdul latif, terutamanya; Terkenang Semasa Dulu dlm akhbar Siasah. Perkara lama tentang politik dan isu semasa yang diingati dan dikisahkan semula amat seronok dibaca.

Pengetahuan yang susah didapati dari sesiapa dan dari mana-mana bukupun. Semua kisah ini kebanyakkannya berkait dengan dirinya sendiri. Pengalaman peribadi.

Azizi Hj.Abdullah ada berkata; jika Allah hendak mengambil nyawa antara dia dan Subky. Azizi berdoa minta Allah ambil nyawanya dulu dari Subky. Pada saya ini kerana Azizi berpendirian ilmu, pendapat dan semua kisah yang ditulis Subky amat berharga dan Azizi mahu...tulisan Subky itu kekal dan tidak tamat cepat.

Tulisan Subky amat lain dari orang lain. Rencananya panjang tapi pendek bila dibaca. Ini kerana bahasanya mudah, ayat dan perenggannya pendek. Bila habis baca seperti tidak puas dan rasanya mahu Subky tulis lebih panjang. Lebih lagi bila tulisan itu berkait dengan isu sekarang.

Seperti kata Azizi, Subky pandai simpan cerita dan amat tahu bila untuk ceritakannya semula. Dan ini satu sebab lagi kenapa tulisannya saya minat dan pada saya amat berharga.

Saya tidak kenal Subky dan tidak pernah jumpa. Khabarnya dia tak berapa sihat terutama berkait gautnya. Seperti doa Azizi, saya juga doa minta Allah panjangkan umur Subky agar tulisannya tidak terhenti. Tapi saya tak sanggup minta Allah ambil nyawa saya dulu dari Subky.

Minta siasah membukukan tulisan Subky ini untuk rujukan dan simpanan masa depan.

02 Mac 2009

Pemimpin Mesti Bersifat Terpuji

Pemimpin mesti banyak memiliki sifat-sifat terpuji, sebab pemimpin menjadi contoh, tempat rujuk dan tempat meminta pandangan oleh rakyat atau pengikutnya. Sifat-sifat yang patut mereka miliki ialah;
1. Banyak idea. Idea membangunkan negara, negeri atau kawasan atau parti pimpinannya. idea untuk menyelesaikan masalah. Idea untuk membaiki dan meningkatkan taraf pemikiran rakyat atau pengikutnya. Jika tiada idea, ertinya dia tidak ghairah untuk membangunkan negara atau parti pimpinannya.
2, Faham segala masalah yang berlaku; masalah diri sendiri, masalah ahli parti, masalah masyarakat umum dan masalah yang melanda dunia dan tahu dan ada idea untuk menyelesaikannya.
3. Ada sifat kasih sayang, lemah lembut, mesra, tawadhuk. Jangan pula kerana kasih sayang, pemimpin itu tidak berani bertindak bila berlaku kesalahan di kalangan pengikutnya. Kasih sayang satu sudut, membaiki parti satu sudut yang lain, menghukum yang salah satu sudut yang lain pula. Pemimpin mesti pandai pisahkan tiap sudut ini.
4. Tegas tapi bukan kasar dan keras. Ia tidak sama. Kasar dan keras milik orang ego, pemarah, tidak berdisiplin dan tidak mengawal nafsu. Tegas ialah kuat mendukung prinsip, kuat melaksanakan hukum. Kasar dan keras ialah orang emosional. Tidak ada emosional dalam Islam. Yang ada hanya rasional.
5. Kuat sabar kerana pemimpin selalu dicabar dan tercabar. kalau tidak sabar kerja-kerja memimpin tidak dapat dibuat. Orang yg tidak sabar ialah seorang pemarah, emosional, gopoh gapah yang akan bawa banyak penyelewengan, salah dan silap yang akibatkan huru hara negara dan lintang pukang rakyat dan pengikut.
6. Pemurah dengan ilmu, nasihat, buah fikiran, tenaga dan apa yang dimilikinya untuk orang lain.
7. Berlapang dada dgn karenah manusia yang dipimpinnya tapi bukan karenah yang berkait dengan pencabulan syariat dan dasar parti atau negara.
8. Mengutamakan kepentingan parti atau negara dan rakyat daripada diri sendiri.
9. Laksana payung melindungi manusia dari hujan dan panas. Melindungi manusia pimpinannya dari kejahilan, kesusahan, kesakitan, kelaparan dan sebagainya.
10. Mesti menyayangi dan disayangi, mengasihi dan dikasihi, menyenangi dan disenangi. Dalam Islam pemimpin seperti imam dalam solat. Jika imam itu rasa makmum sudah benci padanya, haram hukumya dia jadi imam. Kalau kita rasa, majoriti pengikut sudah tidak suka dan benci, eloklah kita undur dengan bak. Mungkin dengan itu akan datang kasih sayang mereka pada kita.
Demikian antara sifat seorang pemimpin. Kalau ada pemimpin bersifat begitu, insyaAllah;
a. Perjalanan negara atau parti itu baik dan teratur.
b. Perpaduan akan tercetus dengan sendirinya.
c. Kemajuan dapat dibangunkan.
Kalau sifat ini tidak dimiliki;
a. Negara atau parti akan huru hara.
b. Pengikut dan rakyat tidak terurus.
c. Pemimpin itu tidak layak memimpin. Janganlah jadi pemimpin walaupun dicalonkan.
Wujudkan sosok tubuh pemimpin dalam negara malaysia yang punya sifat-sifat begini?