13 Ogos 2010

Alhamdulillahlah...Bukan Ucapan Yang Betul!

Alhamdulillah...kerana membantu saya.

Alhamdulillahlah...kerana membantu saya.

Apa perbezaan 2 ucapan di atas? Dapatkah anda cari perbezaannya?

Setiap kali menerima nikmat kesenangan, kita akan mengucapkan Alhamdulillah. Bagaimanapun kalau kita perhatikan dan dengarkan dengan teliti...adanya tambahan 'lah' selepas Alhamdulillah.

Saya tidak pula bertanyakan pada mereka yang arif, apa hukumnya penambahan ini. Selalunya penambahan 'lah' ini disebut secara sepontan atau disebut tanpa sedar. Tidak tahulah kalau ada orang sedar ketika menyebutnya.

Mereka yang arif dalam agama patut perhatikan perkara ini. Perlu keluarkan hukum dibolehkan atau dilarang. Kalau diharuskan...biarkanlah. Kalau dilarang...wajib para ustaz menegur dan menegah. Sekiranya tidak ditegur dan ditegah, takut nanti orang menganggap kalimah 'Alhamdulillahlah' satu kalimah yang betul.

Mengucapkan 'Alhamdulillahlah' dengan tambahan 'lah' seperti tidak ikhlas saja. Ucapan yang terpaksa disebut kerana diberi sesuatu dan hanya mengucapkannya sewaktu mendapatkan sesuatu

Alhamdulillah adalah ucapan yang patut diucap selalu. Setiap detik kerana setiap saat kita diberi dan mendapat sesuatu. Setiap saat kita mendapat tambahan usia. Setiap detik kita diberi peluang untuk bernafas.

Namun tidak ramai orang yang selalu mengucapkan Alhamdulillah dengan pemberian tuhan ini. Ya Allah! Aku pun termasuk dalam golongan ini.

05 Ogos 2010

Sahabat Aku Semuanya Sudah Lari

Betapa sepinya hidup aku di KL ini, kerana di ibukota ini aku tidak punya sahabat. Kawan ramailah. Sahabat aku semuanya sudah lari. Bukan lari dari aku tapi lari dari KL. Mereka sudah jemu dan letih hidup di KL.

Sahabat aku sudah ambil keputusan untuk jadi tua dan meninggal di luar KL.

Mereka balik ke negeri tempat lahir. Mencari rezeki di bandar kecil dekat dengan kampung kelahiran sudah cukup memuaskan bagi mereka. Ada sesetengahnya mendapat rezeki lebih banyak berbanding ketika hidup di KL.

Setahun dua ini aku mula merasakan betapa 'letihnya' hidup di KL. Letih fizikal dan letih mental. Saranan sahabat-sahabat meminta aku turut sama lari meninggalkan KL mula bermain-main dalam hati.

18 Julai 2010

Tulis! Kalau Tidak Kamu Akan Lupa

Bila kamu ada apa-apa idea yang timbul dalam kotak fikir kamu, cepat-cepat catatkannya. Apa-apa idea pun, sekalipun idea itu kelihatan mengarut dan tak masuk akal.

Bawalah satu nota catatan kecil seperti buku kecil 555 dan sebatang pen untuk memudahkan anda mencatat bila perlu. Malulah kalau nak pinjam pen dan kertas kepunyaan orang.

Bila kamu tak mencatatnya, idea itu tidak akan datang semula walau kamu memerah otak sampai 'setengah mati' pun, idea itu tidak akan datang balik.

Itulah yang selalu terjadi pada aku. Aku akui inilah kelemahan yang sampai sekarang, sukar untuk aku hilangkan.

Bila aku ada terfikir beberapa idea, aku biarkan ia berlalu kerana aku anggap ia tidak memberi apa-apa kaitan dengan apa yang aku buat sekarang ini. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang kita akan buat di masa akan datang walupun sekarang ini kita telah merancangnya. Bila kita sampai ke masa itu, kita selalu berharap apa idea yang pernah kita terfikir dulu akan muncul balik.

Aku terfikir beberapa perubahan yang patut aku buat pada surat jualan pos yang aku tulis. Tapi aku tak buat. Aku mahu tangguhkan besok saja. Namun pada besok hari, bila aku tatap balik surat jualan pos yang aku tulis untuk membuat perubahan, aku sudah tak tahu perubahan apa yang aku nak buat. Ini contoh kecil yang terjadi pada aku.

Jadi, kalau kamu ada idea catatkannya dengan segera. Jangan bertangguh. Kalau pun idea itu tidak berguna sekarang, ia mungkin akan berguna di masa depan. Dan kalau ia tidak berguna untuk anda, ia mungkin berguna untuk orang lain.

24 Jun 2010

Bukan Komputer Saja...Tubuh Manusia Juga Ada Fungsi 'restart'...

Saya percaya bahawa tubuh manusia juga punya fungsi 'restart'nya. Tubuh perlukan rehat. Allah berikan malam untuk manusia berehat. Namun manusia pada zaman moden ini tidak lagi menggunakan malam sebagai waktu rehat dengan sebaik-baiknya.

Bila manusia tidak berehat dengan sebetul-betul rehat seperti yang dikehendaki tubuh, maka anggota tubuh tidak dapat berfungsi dengan harmoni antara satu anggota dengan anggota yang lain. Dalam keadaan ini, tubuh secara semulajadi akan mengaktifkan fungsi 'restart' ini.

Seperti komputer, bila anda dapati beberapa komponen tidak berfungsi dengan baik selepas komputer di on, anda hanya perlu restart semula. Ia akan berfungsi dengan normal. Tapi bila direstart semula, masih juga gagal berfungsi, kemungkinan besar komponen@driver dah rosak. Kenalah baik pulih atau tukar baru.

Begitulah dengan tubuh manusia. Dalam proses 'restart' ini, fungsi tubuh akan 'down' sementara. Tubuh dalam keadaan lemah. Itu yang membuatkan kita pening-pening, demam, lemah badan, selsema dan seumpamanya.

Dalam keadaan ini saya percaya, saya patut membiarkan tubuh kembali normal secara semulajadi. Sebab itu saya tak jumpa doktor. Tak makan ubat. Saya makan dan minum seperti biasa, cuma sedikit kerana tiada selera. Itu biasalah.

Saya percaya, bila makan ubat. Proses 'restart' ini akan terbantut dan tubuh dipaksa kembali 'beroperasi' seperti biasa. Saya juga percaya lambat laun, fungsi tubuh akan mengalami 'kegagalan berfungi'. Ini yang menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit berat.

Sebenarnya, ketika tubuh dalam proses 'restart' ini, keadaan kita tidaklah seteruk mana. Demam, pening-pening, lemah badan dan seumpamanya tidaklah 'separah' seperti yang kita sangka. Cuma kita terlalu biasa...hanya kerana pening sedikit, kita telan penadol. Badan panas sikit, kita telan ubat dan mengaduh lemah.

Sedangkan kalau kita sabar sedikit dengan membiarkan 'kesakitan' kita itu hilang dengan sendirinya tanpa bantuan ubat, kita pasti berasa badan segar bertenaga. Tidak sama, segar badan kerana bantuan ubat dengan segar badan pulih dengan sendirinya. Cubalah.

Sebab itu saya tak jumpa doktor hampir 20 tahun dan tidak telah panadol kerana saya mengamalkan kepercayaan ini. Tapi saya tidaklah mengamalkan kepercayaan ini membuta tuli.

Saya memegang prinsip jika saya sakit berlarutan lebih dari 3 hari, itu bukan tanda tubuh saya dalam proses 'restart' tapi sudah mengalami 'kegagaalan berfungsi' dan saya kenalah jumpa doktor. Tempoh hari saya berjumpa doktor pertama kali sejak 20 tahun lepas kerana saya sakit melebihi 3 hari dan tak ada tanda nak pulih. Sebelum ini, alhamdulillah keadaan saya tidak memerlukan saya berjumpa dengan doktor.

Kepercayaan ini masih saya pegang. Kalau doktor baca blog saya ni, pasti dia kata saya gila!

17 Jun 2010

Pertama Kali Bertemu Doktor Dalam 20 Tahun

Kelmarin aku ke klinik HKL. Aku jumpa doktor wanita India. Dia bagi satu suntikan di punggung dan bagi ubat.

Apa yang menariknya pergi klinik jumpa doktor, terima suntikan dan ambil ubat?

Aku mencatatnya dalam blog ini kerana ini adalah sejarah dalam hidup aku. Doktor MD yang aku jumpa terkejut bila aku beritahu, dialah doktor pertama yang aku jumpa dalam tempoh 20 tahun. Dan suntikan di punggung yang dia bagi tu adalah pertama kali dalam tempoh 35 tahun. Tapi seingat aku adalah pertama kali seumur hidup aku dalam tempoh 40 tahun.

Seingat-ingat aku, aku kena suntik hanya di bahu zaman kanak-kanak dulu di sekolah. Suntikan kawalan cacar. Semua orang kena. Selepas itu aku tak ingat, pernahkah aku disuntik lagi. Makan ubat tu adalah.

Kawan-kawan kata aku takut doktor, sebab tu bertahun tak jumpa doktor. Tapi aku ada sebab kuat kenapa aku tak jumpa doktor. Bukan sebab takut. Nanti aku catatkan.

05 Jun 2010

1 Tahun Tiada Catatan

Blog ini sudah bersawang. 1 tahun tak berusik. Mula-mula pertama kali berjaya bina blog sendiri, perasaannya idak boleh digambarkan. Bagi seorang yang 'buta' komputer, dapat bina dan miliki blog sendiri tanpa bantuan siapa-siapa, mana tidak ghairahnya?

Mulalah berangan-angan mahu jadi blogger seperti blogger lain yang terkenal yang blognya diratah tak kenyang-kenyang.

Memanglah, angan-angan tak boleh bawa apa-apa ke mana-mana, kalau tiada tindakan, tiada ilmu, tiada komitmen, tiada sabar, tiada idea, tiada apa lagi? Semua 'kalau' itu mesti ada, barulah boleh jadi blogger sejati.

Dengan kata lain, nak jadi blogger sejati kena ada kekuatan dalaman. Aku kena cari kekuatan dalaman untuk jadi blogger sejati

04 Jun 2009

Selamat Pengantin Baru




Akhir Mei lalu adik perempuanku sudah ada temah 'sah' dalam hidupnya. Terlepas sudah 1 dari 3 'beban risau' mak dan ayah. Mereka ada 5 'beban risau' yang ditanggung. 3 sudah lepas, ada 2 lagi.


Memang 'kerisauan' membesarkan anak perempuan lebih dari anak lelaki. Masa anak-anak kecil tak terasa. Bila dah besar, barulah timbul risau. Aku tahu kerisauan ini tapi aku tak dapat selami dan alaminya. Kerana aku masih hidup seorang.


Selamat pengantin baru adikku. Moga hidup kamu dan suami selalu dirahmati Allah. Bahagia dan bersama hingga ke anak cucu dan sampai akhir usia.