06 Februari 2011
Apa Aku Hendak Tulis
Aku mahu menulis apa yang ada dalam fikiranku ini tapi aku tiada bahasa dan kata untuk mencatatnya.
Apa yang patut aku buat?
01 Januari 2011
Azam Tahun Baru 2011
Kalau diikut perkiraan dunia, tahun baru maknanya umur kita bertambah setahun. Tapi hakikatnya kalau ikut perkiraan agama, umur kita sebenarnya telah berkurang satu tahun.
Aku tidak pernah menetapkan apa-apa azam untuk tahun baru. Setengah orang berkata, jalani hidup seperti biasa, azam tidak membawa apa-apa makna. Dan yang lain berkata, dengan menetapkan azam, hidup kita lebih bermakna. Hidup hanya bermakna bila azam itu diusahakan untuk dicapai.
Tahun ini aku mahu menetapkan azam. Apa azam? Aku mahu mendalami dengan lebih dalam PERNIAGAAN BERASASKAN INTERNET.
25 November 2010
Masih Ada Melayu Tak Percaya Kemampuan Melayu
Walaupun kedai roti ini bukan aku punya dan aku hanya pekerja di sini, tapi memang merah telinga kalau ada orang Melayu asyik bertanya, "kedai ini...orang Melayu punya ke?", "roti ni ambil cina punya ke?" sedangkan akulah yang buat roti di kedai ini.
Apa maksud pertanyaan itu? Kamu tak yakin orang Melayu pandai buat roti ke? Kadang-kadang bila 3-4 kali pertanyaan itu menerjah telinga, aku panas hati dan membalas jawapan dengan perli, "ini kedai cina, roti di kedai ni saya yang buat dan nama saya Ah Long!"
Oh! Aku memang lemah dan tidak sabar dalam melayan pelanggan sebab itu aku lebih suka memerap di dapur berbanding melayan pelanggan di kaunter.
p/s; kalau anda mahu belajar dan pandai buat roti tanpa perlu menghadiri kursus, anda boleh dapatkan Resepi Dan Panduan Mudah Buat Roti Semudah Langkah 1,2,3... di RAHSIABUATROTI
08 November 2010
Dah Lama Aku Menetap Di KL
Kadang-kadang terfikir, alangkah baiknya aku cari rumah sewa lain yang baik baik sedikit dari rumah yang aku sewa sekarang ini. Rumah sewa ada tapi jauh. Jika dicampur sewa rumah dengan tambang perjalanan, jumlah jauh lebih banyak dari 450. Di Kg.Baru dekat dengan tempat kerja. Pergi dan balik kerja jalan kaki saja.
Mungkin lebih baik jika aku beli rumah. Duit yang selalu bayar sewa, boleh bayar duit bulanan rumah yang aku beli. Kalau bayar lebihpun tak mengapa...rumah sendiri.
Tinggal rumah sendiri tak perlulah risau apa-apa, contohnya diminta mengosongkan rumah.
Bila tinggal di rumah sewa, terpaksa mengosong rumahlah yang paling dirisaukan.
Hati memang teringin sangat mahu memiliki rumah sendiri. Mana nak cari deposit untuk bayar rumah sendiri?
05 Ogos 2010
Sahabat Aku Semuanya Sudah Lari
Sahabat aku sudah ambil keputusan untuk jadi tua dan meninggal di luar KL.
Mereka balik ke negeri tempat lahir. Mencari rezeki di bandar kecil dekat dengan kampung kelahiran sudah cukup memuaskan bagi mereka. Ada sesetengahnya mendapat rezeki lebih banyak berbanding ketika hidup di KL.
Setahun dua ini aku mula merasakan betapa 'letihnya' hidup di KL. Letih fizikal dan letih mental. Saranan sahabat-sahabat meminta aku turut sama lari meninggalkan KL mula bermain-main dalam hati.
18 Julai 2010
Tulis! Kalau Tidak Kamu Akan Lupa
Bawalah satu nota catatan kecil seperti buku kecil 555 dan sebatang pen untuk memudahkan anda mencatat bila perlu. Malulah kalau nak pinjam pen dan kertas kepunyaan orang.
Bila kamu tak mencatatnya, idea itu tidak akan datang semula walau kamu memerah otak sampai 'setengah mati' pun, idea itu tidak akan datang balik.
Itulah yang selalu terjadi pada aku. Aku akui inilah kelemahan yang sampai sekarang, sukar untuk aku hilangkan.
Bila aku ada terfikir beberapa idea, aku biarkan ia berlalu kerana aku anggap ia tidak memberi apa-apa kaitan dengan apa yang aku buat sekarang ini. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang kita akan buat di masa akan datang walupun sekarang ini kita telah merancangnya. Bila kita sampai ke masa itu, kita selalu berharap apa idea yang pernah kita terfikir dulu akan muncul balik.
Aku terfikir beberapa perubahan yang patut aku buat pada surat jualan pos yang aku tulis. Tapi aku tak buat. Aku mahu tangguhkan besok saja. Namun pada besok hari, bila aku tatap balik surat jualan pos yang aku tulis untuk membuat perubahan, aku sudah tak tahu perubahan apa yang aku nak buat. Ini contoh kecil yang terjadi pada aku.
Jadi, kalau kamu ada idea catatkannya dengan segera. Jangan bertangguh. Kalau pun idea itu tidak berguna sekarang, ia mungkin akan berguna di masa depan. Dan kalau ia tidak berguna untuk anda, ia mungkin berguna untuk orang lain.
24 Jun 2010
Bukan Komputer Saja...Tubuh Manusia Juga Ada Fungsi 'restart'...
Bila manusia tidak berehat dengan sebetul-betul rehat seperti yang dikehendaki tubuh, maka anggota tubuh tidak dapat berfungsi dengan harmoni antara satu anggota dengan anggota yang lain. Dalam keadaan ini, tubuh secara semulajadi akan mengaktifkan fungsi 'restart' ini.
Seperti komputer, bila anda dapati beberapa komponen tidak berfungsi dengan baik selepas komputer di on, anda hanya perlu restart semula. Ia akan berfungsi dengan normal. Tapi bila direstart semula, masih juga gagal berfungsi, kemungkinan besar komponen@driver dah rosak. Kenalah baik pulih atau tukar baru.
Begitulah dengan tubuh manusia. Dalam proses 'restart' ini, fungsi tubuh akan 'down' sementara. Tubuh dalam keadaan lemah. Itu yang membuatkan kita pening-pening, demam, lemah badan, selsema dan seumpamanya.
Dalam keadaan ini saya percaya, saya patut membiarkan tubuh kembali normal secara semulajadi. Sebab itu saya tak jumpa doktor. Tak makan ubat. Saya makan dan minum seperti biasa, cuma sedikit kerana tiada selera. Itu biasalah.
Saya percaya, bila makan ubat. Proses 'restart' ini akan terbantut dan tubuh dipaksa kembali 'beroperasi' seperti biasa. Saya juga percaya lambat laun, fungsi tubuh akan mengalami 'kegagalan berfungi'. Ini yang menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit berat.
Sebenarnya, ketika tubuh dalam proses 'restart' ini, keadaan kita tidaklah seteruk mana. Demam, pening-pening, lemah badan dan seumpamanya tidaklah 'separah' seperti yang kita sangka. Cuma kita terlalu biasa...hanya kerana pening sedikit, kita telan penadol. Badan panas sikit, kita telan ubat dan mengaduh lemah.
Sedangkan kalau kita sabar sedikit dengan membiarkan 'kesakitan' kita itu hilang dengan sendirinya tanpa bantuan ubat, kita pasti berasa badan segar bertenaga. Tidak sama, segar badan kerana bantuan ubat dengan segar badan pulih dengan sendirinya. Cubalah.
Sebab itu saya tak jumpa doktor hampir 20 tahun dan tidak telah panadol kerana saya mengamalkan kepercayaan ini. Tapi saya tidaklah mengamalkan kepercayaan ini membuta tuli.
Saya memegang prinsip jika saya sakit berlarutan lebih dari 3 hari, itu bukan tanda tubuh saya dalam proses 'restart' tapi sudah mengalami 'kegagaalan berfungsi' dan saya kenalah jumpa doktor. Tempoh hari saya berjumpa doktor pertama kali sejak 20 tahun lepas kerana saya sakit melebihi 3 hari dan tak ada tanda nak pulih. Sebelum ini, alhamdulillah keadaan saya tidak memerlukan saya berjumpa dengan doktor.
Kepercayaan ini masih saya pegang. Kalau doktor baca blog saya ni, pasti dia kata saya gila!
04 Jun 2009
Selamat Pengantin Baru
Akhir Mei lalu adik perempuanku sudah ada temah 'sah' dalam hidupnya. Terlepas sudah 1 dari 3 'beban risau' mak dan ayah. Mereka ada 5 'beban risau' yang ditanggung. 3 sudah lepas, ada 2 lagi.
19 April 2009
Punya Blog Dot Com Sendiri
Aku sebenarnya ingin punya blog dot com sendiri. Blog berbayar. Bukan percuma seperti blog ini. Kerana aku ingin pergi jauh dalam dunia internet ini. Aku mahu jadi usahawan internet. Aku mahu gunakan internet ini semaksima mungkin. Bukan sekadar mencoret kisah diri semata-mata. Bukan asyik membaca blog orang lain saja.
Bila punya blog berbayar, sekurang-kurangnya itu satu perangsang untuk aku terus berusaha. Bukan sekadar beragan saja. Dengan blog percuma ini, aku tidak nampak jalan. Berjaya atau tidak itu soal lain. Tapi kejayaan tidak akan dicapai kalau tiada langkah pertama.
Blog berbayar ini aku anggap langkah ke3. Langkah pertama ialah punya komputer dan sambungan internet. Langkah ke2 punya blog..ya, blog percuma ini. Langkah ke3, blog berbayar. langkah ke4? Langkah ke4 mesti didahului dengan langkah ke3.
-sambung-
03 April 2009
Kelab Untuk Orang yang Tak Ada Kereta Dan Motor
Kelab di Malaysia ni dan berlambak tapi aku nak tubuhkan satu lagi kelab. Kelab Pejalan Kaki.
Kelab ni untuk orang yang tak ada kereta, tak punya motor. Kelab ni untuk orang yang suka jalan kaki. Kelab ni untuk orang yang suka jalan kaki dari Kg Baru ke Masjid Negara. Kelab ni untuk orang yang tak rasa letih untuk jalan kaki dari Kg Baru ke Kg Dato Keramat.
Kelab ni untuk orang yang boleh jalan kaki dari Masjid Kg Baru ke Lot 10. Dari Lot 10 ke Puduraya. Dari Puduraya ke Dataran Merdeka. Dari Dataran Merdeka balik semula ke Masjid Kg Baru.
Kelab ni untuk orang yang menggunakan bas bila dah letih jalan kaki.
Aku rasa kelab ni belum wujud lagi. Kalau dah ditubuhkan, bolehlah buat macam-macam program...apa-apa program yang patut. Emm...program apa yang sesuai untuk orang yang suka jalan kaki ni ya?
Ada siapa-siapa nak join?
23 Mac 2009
Perasuah Adalah Hero
Kerana itu kita terbiasa dengan tajuk-tajuk ini; Rahsia Jutawan Internet Terbongkar, Rahsia Buat Duit Dengan eBay, Rahsia Buat Duit Dengan Kad Kredit, Rahsia Buat Duit Dengan Hobi dan banyak lagi ayat yang boleh melariskan buku.
Kalau untuk kosmetik dan makanan tambahan, kita akan diasak dengan pujukan-pujukan ini; Rahsia Melangsingkan Badan Dalam 10 Hari, Rahsia Mencerahkan Kulit Dalam 7 Hari, Rahsia Kuat Dalam Bilik Tidur dan banyak rahsia lagi.
Aku tiba-tiba terfikir untuk menulis satu buku menggunakan perkataan rahsia ini; 'Rahsia Bagaimana Anda Boleh Tersenyum Bangga Dan Dianggap Hero Walaupun Anda Merasuah!'
Mesti meletup-letup jualan buku ini nanti sebagaimana meletupnya buku Dr.Irfan Khairi; Rahsia Jutawan Internet Terbongkar.
Ada sesiapa yang nak tempah buku ini dari saya?
27 Februari 2009
Luat Ku Telah Hilang Seri; Cerita Luat 1

Pagi slps sarapan..pagi sblm zohor masuk. Petang slps asar..petang menunggu maghrib, aku selalu 'lepak' di pondok tebing sg.perak menghayati pemandangan indah ini. Ini rutin aku bila pulang ke Luat, Lenggong. Ini antara sebab aku sering pulang ke Luat sedangkan mak ayah ada di Pahang.
Inilah pintu masuk utama ke Luat. Kenderaan besar tidak boleh masuk, kena tinggalkan di seberang sungai. Motosikal dan basikal saja boleh naik motobot. Nak bawa masuk kenderaan besar tak berbaloi, jauh sangat.
Bila cuti-cuti utama, seberang sana penuh kereta anak cucu, saudara mara yang pulang bercuti ke Luat. Selepas menyeberang ke Luat, kena tunggu di pondok. Menanti seorang demi seorang diangkut motosikal balik ke rumah. Kalau rumah dekat tepi sungai macam rumah keluarga belah mak, boleh jalan kaki.
kalau habis cuti, pondok dan tepi sungai penuh orang menunggi giliran naik motobot utk ke seberang. Pagi penuh orang..petang penuh orang. Ketika inilah dapat bertemu dan bertanya khabar sesama sendiri.
Pada aku inilah keindahan sebenar Luat. Suasana begini menjadikan Luat berseri.
Semuanya sekarang tinggal kenangan. Luat kini sudah ada jambatan dan akan ada jalan besar dalam pembinaan di 'belakang' kampung. Dari Ipoh boleh terus ke Luat, tak perlu singgah di Kuala Kangsar.
Kalau tidak kerana ziarah opah, adik Ana dan saudara mara, aku tidak mahu jejak ke Luat.
14 Februari 2009
Adakah Anda Punya Rukun Diri?
Dalam bab agamapun ada rukunnya. Rukun iman, rukun islam dan segala amalan dalam Islam ada rukunnya. Rukun dalam agama ini bukan ciptaan manusia.
Ini menunjukkan pentingnya 'kewujudan dan kedudukan' rukun ini.
Kalau rukun negara dan organisasi 'direka' manusia untuk mengukuh dan menguatkan negara dan organisasi dan Allah mengadakan rukun dalam amalan agama untuk kesempurnaan amalan hamba-Nya, maka manusiapun patut mencipta dan mengadakan rukun untuk dirinya sendiri bagi menguat, mengukuh dan menyempurnakan usia hidupnya.
Saya mengadakan rukun diri saya ini atas saranan Dr.Tuah Iskandar al-Haj;
Aku insan luar biasa hebat; hebat pada pemikiranku, fizikalku dan emosiku/jiwaku.
Hatiku teguh dengan segala keputusan yang telah aku buat.
Membina imaginasi cemerlang untuk hidup terbilang dan gemilang.
Aku bertindak segera untuk melaksanakan keputusan dan menggapai imaginasiku.
Doa dan usaha berterusan adalah prinsip hidupku; tunjang kejayaan hidup.
Yakin pada diri; aku boleh!
Allah matlamat utama hidupku; sumber segala-galanya dalam hidup.
Nabi Muhammad idolaku; contoh panduan menjalani kehidupan.
Islam agamaku; hidup dan matiku bersamanya.
Adakah anda mempunyai rukun hidup sendiri? Anda patut mengadakannya sekarang.
selamat datang...
Selamat datang ke dunia blogging. Kata orang untuk menjadi bloggers...[hmm..selepas ini saya ingin gunakan istilah blogawan, seperti istilah yang disebut oleh aizam hussin dalam bukunya; blog; bawa pemikiran anda ke tengah. Blogawan ini hasil idea encik hasbullah pit [http://sebolku.blogspot.com] Istilah ini patut digunapakai secara meluas]...mesti ada persediaan, mesti ada kemahiran, mesti pakar! Tahu subjek yang ingin ditulis dan tentunya mahir menulis. Ada kepakaran dalam bidang tertentu dan kepakaran itu datangnya dari pendidikan yang tinggi.
Selamat datang ke dunia blogging. Saya masuk ke dunia ini tanpa membawa apa-apa. Walaupun dalam akalfikir saya ada sesuatu yang ingin saya kongsikan dengan orang lain, namun saya tiada kemahiran menulis yang bagus. Pendidikan saya tidak setinggi semua blogawan yang saya tahu, berijazah dan berPhd. Layakkah saya menjadi seorang blogawan.
Selamat datang ke dunia blogging dan selamat berkenalan kepada sesiapa saya yang sudi berkenalan dan pada mereka yang asyik dalam 'talian'.



